temuduga

Pengusaha Tahfiz LGBT?

BERUBAH LAH. TOLONGLAH BERUBAH.
Kemana halatuju sebenar Institusi Tahfiz jika gejala ini tidak diubah? Apakah layak institusi tahfiz diberi penghormatan oleh umat islam jika gejala ini berterusan?
Masalah gejala pengetua tahfiz/mudir atau warden tahfiz yang bernafsu songsang(LGBT) bukan lah perkara baru. Namun ini adalah antara fitnah besar yang akan dihadapi oleh semua institusi Tahfiz apabila sekali media putarkannya. Di mana logiknya? Setiap warden yang dilantik mesti menghafal 30 juzu' al-Quran. Di mana kefahaman seorang mudir atau warden? Tidak patut sama sekali mengatakan mereka tidak mengetahui tentang kisah Nabi Luth sedangkan mereka menghafaz al-Quran. Namun dimana silapnya?
Saya berfikir dan merenung. Cuba mencari punca dengan tapisan ilmu saya yang cetek. Saya lihat ramai pengusaha yang tiada kesungguhan memperjuangkan institusi Tahfiz, yang ada hanya mereka menganggap seperti "acah-acah" telah bertanggungjawab dalam memperjuangkan agama melalui institusi tahfiz. "Niat yang celaru menyebabkan hasil yang celaru". Maka apa kepentingan pengusaha? Adakah totally salah pengusaha? Atau sikap ambil mudah dalam memahami apa itu "dosa"?
Saya faham beberapa perkara dalam pergaulan dengan ramai pengusaha tahfiz:
1. Ada pengusaha tahfiz yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan institusi tahfiz. Mereka berhabis harta demi membangunkan tahfiz. Ketegasan mereka menyediakan fasiliti yang lengkap, sistem yang berkesan, tapisan pelajar yang tegas serta peraturan yang tegas bagi membuktikan kesungguhan mereka untuk melahirkan pelajar yang berjaya menghafaz 30 juzu' dengan jayanya. Mereka(pengusaha) ini sangat tegas memilih staff/pekerja/guru tasmie/warden untuk berkhidmat di pusat pengajian mereka. Jika guru/warden melakukan kesalahan berat, pemecatan akan berlaku. Ketegasan SOP Guru/warden yang sememangnya diperlukan agar operasi Institusi tahfiz mereka berjalan lancar.
2. Mereka yang bukan dari bidang agama, mewujudkan tahfiz atas dasar impian diri sendiri atau keluarga. Disini ada pro dan kontra nya. Apa yang positif, niatnya yang baik serta impiannya yang murni. Namun kesan negatif akan muncul apabila melibatkan kepakaran. Lalu mereka mencari seorang Mudir untuk membantu mereka menguruskan tahfiz dan menyerahkan 70% urusan dan pembuat keputusan terhadap mudir yang dilantik. Persoalannya, apakah mudir yang dilantik itu benar-benar memahami selok belok erti perjuangan institusi tahfiz? Berani saya katakan 60% hanyalah tangkap muat sahaja.
3. Pengusaha yang melihat "keuntungan dunia" terhadap institusi tahfiz. Inilah punca kerosakan dan benih fitnah terhadap institusi tahfiz. Mereka tidak mempedulikan Sistem institusi, SOP pekerja, pematuhan undang-undang, audit kewangan dan sebagainya. Ianya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Lalu memilih mudir, guru, warden, atau staff yang boleh mengikut kehendak nafsunya, bukan mengikut undang-undang.
Melalui ketiga-tiga pemerhatian diatas, point ke-2 dan ke-3 bakal menyumbang masalah gejala nafsu songsang mudir atau warden. Kerana pengusahanya tidak mempunyai kepakaran jitu dalam membangunkan institusi malah bermula dengan niat yang salah. Tidak keterlaluan saya katakan, dalam bab memilih guru tahfiz. Berapa ramai pengusaha yang memahami garis pandu menjadi seorang guru di dalam islam? Berapa ramai pengusaha yang memahami selok belok memilih guru yang digaris pandu dalam islam?
Suka saya memetik sedikit petikan dalam kitab Ta'lim Al Muta'allim karangan Al Imam Burhanudin Az Zarnuji رحمه الله:
أما اختيار الأستاذ: فينبغى أن يختارالأعلم والأورع والأسن، كما اختار أبو حنيفة، رحم الله عليه، بعد التأمل والتفكير،حماد بن سليمان.
"Dalam memilih guru, hendaklah mengambil yang lebih alim, warak’ dan juga lebih tua usianya. Sebagaimana Abu Hanifah setelah lebih dahulu memikir dan mempertimbangkan lebih lanjut, maka menentukan pilihannya kepada tuan Hammad Bin Abu Sulaiman."
Sedikit saya kupaskan mengikut keperluan pemilihan guru tahfiz mengikut zaman kini yang boleh kita contohi kaedah Imam Abu Hanifah رحمه الله dalam memilih guru. Walaupun tidak mampu kita ikut 100% seperti Imam Abu Hanifah رحمه الله, namun mencontohinya adalah usaha kearah kebaikan.
1. Memilih seorang guru yang alim, iaitu mengetahui selok belok dalam cabang ilmu seperti bahasa arab, aqidah, fiqh, tasawwuf, al-Quran, tajwid, hadith dan lain-lain supaya pelajar mendapat manfaat dari ilmunya.
2. Memilih guru yang warak, iaitu guru yang mengutamakan tujuan ilmu serta praktikal ilmu, meninggalkan yang syubuhat sehingga muridnya menjadi thiqah terhadapnya.
3. Mengutamakan usia. Dalam keadaan sekarang, usia amat memainkan peranan besar. Kematangan amat penting dalam mendidik pelajar. Kematangan ini adalah lebih merujuk kepada kematangan pemikiran. Saya lebih cenderung mengatakan kematangan seseorang adalah kerana ilmunya, bukan kerana umurnya semata-mata. Namun tidak dinafikan umur yang banyak memberi faktor terhadap kematangan seseorang.
Seterusnya seorang pengusaha yang ikhlas dalam memperjuangkan institusi tahfiz, akan memilih guru yang berakhlak baik serta guru yang mampu membimbing ke arah kebaikan. Syarat ketat perlu diberikan kepada guru yang dipilih serta tindakan tegas harus diambil jika seorang guru itu melanggar peraturan. Jangan hanya melihat 30 juzu' sahaja tanpa melihat "jiwa" guru yang dipilih. Kesimpulan kepada pengusaha tahfiz, kalian perlu memahami apa tujuan kalian dalam membangunkan institusi tahfiz. Jika tiada ikhlas dalam jiwa kalian, berhenti lah dari meneruskan kerja ini. Pilihlah kerja lain yang sesuai dengan nafsu kalian.
FAKTOR KE-2: SEGELINTIR GURU TAHFIZ MENJADIKAN TAHFIZ TEMPAT MENDAPATKAN GAJI SEMATA - MATA
Apabila digelar sebagai "pekerja", semestinya memerlukan gaji terhadap khidmat yang diberi. Baik, di sini guru tahfiz perlu bezakan dua perkara. GAJI dan KHIDMAT.
Gaji: ini adalah tanggungjawab pengusaha/majikan terhadap pekerjanya.
Khidmat: ini adalah tanggungjawab guru tahfiz itu sendiri. Apa yang saya nampak, seorang guru yang mempunyai jiwa pendidik, mereka akan berhabis-habisan memikirkan tentang murid mereka. Bagaimana akhlaknya, bagaimana hafazannya, bagaimana ibadat muridnya dan lain-lain. Hajat seorang guru yang ikhlas, hanyalah mahu melihat anak muridnya berjaya dalam bidangnya yakni syahadah 30 juzu' al-Quran.
Apakah seorang guru yang ikhlas, ada masa untuk meliwat pelajarnya? Apakah seorang guru yang ikhlas, akan ada masa mahu meraba pelajarnya? Apakah guru yang ikhlas, akan ada masa memikirkan hal yang selain dari tugasnya sebagai pendidik? Tidak sama sekali.
Di dalam kitab التِّبْيَانُ فِي آدَابِ حَمَلَةِ الْقُرْآنِ karangan Al Imam An Nawawi رحمه الله ada menyebut:
Kami meriwayatkan daripada al Ustaz Abu al Qasim al Qusyairi رحمه الله , katanya, "ikhlas adalah menuluskan tujuan semata-mata kepada Allah dalam perkara ketaatan. Maksudnya disebalik suatu amalan taat, seseorang itu ingin mendekatkan diri kepada Allah kepada Allah Ta'ala tanpa mengharapkan perkara lain seperti sengaja menunjuk-nunjuk di hadapan makhluk, berusaha mendapatkan pujian manusia, atau kecintaan makhluk yang menyanjung orang tersebut, atau apa tujuan sekalipun, selain mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala." Katanya lagi, "boleh lah dikatakan, ikhlas adalah penyucian suatu amalan daripada perhatian seluruh makhluk."
Dalam sebuah riwayat daripada Huzaifah al Mar'asyi رحمه الله katanya:
"Ikhlas ialah keadaan perbuatan seseorang hamba yang sama dari sudut zahir dan batinnya."
Ikhlas adalah amalan yang tidak nampak, namun boleh dilihat zahirnya(perlakuannya). Wahai guru tahfiz, janganlah kalian aibkan institusi mulia ini dengan nafsu serakah dan songsangmu. Apa erti 30 juzu' dalam ingatanmu jika kalian tidak mampu mempraktikkan dalam jiwamu. Berfikirlah, Tahfiz ini adalah sebahagian dari perjuangan agama. Bukankah perbuatan songsang itu ada di tempat maksiat? Apakah yang kalian rasa, jika melakukan amalan maksiat di pusat tahfiz? Seolah-olah kalian melakukan maksiat di dalam masjid atau surau. Kerana pusat tahfiz bukan hanya tempat pendidikan, namun ianya adalah tempat ibadah kerana di dalamnya ada bacaan al-Quran, ada solat jemaah 5 waktu, ada pembcaan hadith, ada tarbiyyah dan lain-lain lagi.
Ikhlaskan hati kalian. Warakkan diri kalian. Jaga thiqah kalian.
Wallahualam.
Oleh: Ustaz Muhammad Sobri Nadzari
(Pengerusi Akademi Islam As Suffah)

<script type="text/javascript"> var uid = '237955'; var wid = '492790'; </script> <script type="text/javascript" src="//cdn.popcash.net/pop.js"></script>